Promosi

Saturday 17 November 2012

Ingatkan Dah Selesai


Dah lama penulis tidak dengar isu mengenai KUIN diperkatakan di kedai2 makan di negeri Kedah ini. Tiba2 hari ini ada satu lagi pendedahan yang dibuat oleh Badan Bertindak Anti Penyelewengan Kedah mengenai satu penipuan yang dilakukan oleh pihak pengerusan KUIN. Selanjutnya anda bacalah laporan berikut...

Krisis Kuin semakin meruncing


KHAIRUL Anuar Ramli (kiri) menunjukkan beberapa dokumen berhubung isu penyelewengan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah sambil diperhatikan Saiful Ambar Abdullah Ambar pada sidang akhbar di Kulim, Kedah, semalam. - UTUSAN/Kamal Basir

KULIM 16 Nov. - Ketika krisis yang melanda Kolej Universiti Insaniah (Kuin) semakin meruncing, satu bukti berhubung penyelewengan pentadbiran institusi pengajian tinggi di bawah kerajaan Pas Kedah itu didedahkan hari ini.

Perkara itu dibongkar oleh Badan Bertindak Antipenyelewengan Kedah yang tampil bersama dokumen yang mendedahkan tindakan Kuin menggunakan minit mesyuarat palsu dalam perbicaraan kes saman melibatkan Syarikat Shake Cuisine Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Presiden badan bertindak tersebut, Khairul Anuar Ramli mendakwa, minit mesyuarat berkenaan direka untuk menafikan perjanjian awal yang ditandatangani oleh pihak Kuin dan syarikat terbabit pada 26 Februari 2009.
Katanya, perjanjian awal itu melibatkan penyediaan tempat penginapan untuk 300 pelajar Kuin tetapi dalam minit mesyuarat bertarikh 14 Oktober 2009 berkenaan mengatakan penyediaan tempat adalah hanya untuk 193 orang.

"Kenyataan saya ini disokong oleh surat akuan bersumpah yang dibuat Setiausaha Sulit Kanan kepada Rektor, Kamaliah Osman di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 8 Ogos lalu.

"Dalam akuan bersumpah tersebut, Kamaliah telah diarahkan untuk menyediakan minit mesyuarat palsu oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik Kuin, Prof. Madya Zakariya Man yang juga diarahkan Rektor Kuin, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman supaya menguruskan perkara-perkara berkaitan saman oleh Shake Cuisine Sdn. Bhd.," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang ditemani peguamnya, Saiful Ambar Abdullah Ambar di Taman Seluang di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata, pemalsuan dokumen itu merupakan satu perkara yang cukup serius kerana melibatkan beberapa pihak termasuk institusi pendidikan negara dan bidang perundangan.

Sehubungan itu katanya, pihak yang terlibat diharap dapat dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin menerusi pembongkaran yang dilakukan pihaknya itu demi memulihkan kembali imej Kuin sebagai salah sebuah pusat pengajian Islam terbaik di negara ini.

Menurutnya, Badan Bertindak Antipenyelewengan Kedah akan membuat satu laporan polis dan menyerahkan semua dokumen berhubung dakwaan penyelewengan itu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim, petang esok bagi meminta pihak berkuasa menyiasat kes berkenaan.

"Ini adalah pendedahan peringkat pertama kami. Banyak lagi isu dalaman Kuin akan didedahkan secara berperingkat selepas ini kerana kami menerima dua kotak dokumen yang dihantar menerusi kurier," dakwanya.

Khairul Anuar turut mencabar Jamil meletak jawatan sebagai Rektor Kuin kerana menyifatkan bukti dokumen yang ada di tangannya sudah cukup untuk melibatkan beliau dalam hal berkenaan.

"Setelah membuat laporan polis, suatu tempoh masa akan diberikan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan dengan segera.

"Selepas itu, jika Rektor Kuin berdegil untuk meletak jawatan, kita akan menggunakan kuasa rakyat bagi mendesaknya berbuat demikian," katanya.

No comments:

Post a Comment